Isnin, 15 Januari 2018 | 1:10pm

Reman Farid Kamil disambung

PETALING JAYA: Reman pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari, yang dipercayai menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, dilanjutkan sehari lagi.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Hairul Azhar Mohd Ishak, terhadap pelakon berusia 37 tahun itu bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Farid Kamil yang memakai kemeja kelabu tiba di kompleks mahkamah menaiki kereta polis kira-kira jam 11.30 pagi, diiringi anggota polis ke kamar mahkamah untuk prosiding reman.

Suami kepada pelakon, Datin Diana Danielle, 27, itu dibawa keluar dari kamar mahkamah pada jam 12.32 tengah hari.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari Khamis lalu, pelakon terbabit dikatakan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter terbabit, dia didakwa secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Selain mencederakan polis berusia 24 tahun, dia dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.

Pelakon Azad Jazmin bersama Azhan Rani dilihat hadir ke mahkamah untuk memberi sokongan.

Turut kelihatan di kompleks mahkamah, adik Farid Kamil, Fadzil Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

Sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah, Farid Kamil sempat mengucapkan "thank you (terima kasih) semua" sebelum dibawa pergi.

FARID Kamil direman bagi membantu siasatan di Kompleks Mahkamah Petaling. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X