Isnin, 15 Januari 2018 | 5:41pm

Hukuman mati 9 penceroboh Lahad Datu kekal

PUTRAJAYA: Sembilan anggota pengganas warga Filipina yang didapati bersalah dalam tragedi pencerobohan berdarah di Lahad Datu, Sabah lima tahun lalu, kekal ke tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk diringankan hukuman.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, sebulat suara membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Jun tahun lalu bahawa hukuman mati adalah paling wajar berdasarkan dapatan fakta dalam kes berkenaan.

Sembilan warga Filipina itu ialah Atik Hussin Abu Bakar, 47; Basad H Manuel, 43; Ismail Yassir, 78; Virgilio Nemar Patulada, 58; Salib Akhmad Emali, 65; Al Wazir Osman, 63; Tani Lahad Dahi, 65; Julham Rashid, 71, dan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 55, semuanya anggota Tentera Kesultanan Sulu (RSF).

Datu Amirbahar adalah anak saudara Jamalul Kiram III yang mengetuai pencerobohan terbabit.

Raus dalam penghakimannya, berkata mahkamah membuat keputusan bagi sabitan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan berdasarkan dapatan oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Katanya, panel Mahkamah Persekutuan tiada alasan untuk mengubah keputusan kedua-dua mahkamah berkenaan.

Beliau berkata, mahkamah menolak rayuan terhadap sabitan dikemukakan sembilan tertuduh selaku perayu selepas berpandangan sabitan berkenaan adalah selamat.

"Bagi hukuman pula, kami bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa hukuman mati adalah paling wajar. Sehubungan itu, kami menolak rayuan ini dan mengesahkan hukuman terhadap semua perayu," katanya.

Yang turut bersidang, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Pada 8 Jun tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadap semua perayu.

Mahkamah itu bagaimanapun mengubah hukuman penjara sepanjang hayat yang dikenakan hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 26 Julai 2016 kepada hukuman mati selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi hukuman.

Sementara itu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud supaya eksibit kes diserahkan kepada polis untuk dihantar ke muzium bagi tujuan rekod sebagai sebahagian daripada sejarah negara.

Mahkamah itu juga menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan 14 responden lain selepas berpuas hati bahawa hakim perbicaraan membuat keputusan yang betul apabila memutuskan pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie ke atas mereka.

Mereka adalah Kadir Uyung, 31; Lating Tiong, 21; Masir Saidin, 23; Anwar Salib Akhmad, 34; Binhar Salib Akhmad, 32; Rijmal Salleh, 25; Abdul Majil Jubin, 46; Rizman Gulan, 24; Dani Ismail, 61; Totoh Hismullah, 60; Saidili Jaharul, 56; Basil Samiul, 38; Abdul Hadi Mawan, 54, dan Salib Akhmad, 65.

Salib bagaimanapun antara disabitkan dengan kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan dikenakan hukuman mati.

Abdul Hadi pula disabitkan dengan tuduhan menganggotai kumpulan pengganas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan dan dipenjarakan selama 16 tahun.

Semua responden didakwa dengan pelbagai tuduhan, antaranya merekrut dan menyeludup anggota pengganas, menganggotai kumpulan pengganas dan menyokong aktiviti kumpulan pengganas.

Semua responden dan perayu diwakili peguam, Datuk N Sivanantan, manakala Abdul Hadi diwakili peguam, Abdul Gani Zelika.

Prosiding hari ini dijalankan secara langsung melalui sidang video bagi kemudahan pemberita yang ditempatkan di bilik bersebelahan, manakala semua perayu dan responden pula diiringi dengan ketat oleh anggota keselamatan.

ABDUL Hadi Mawan antara tertuduh dikawal ketat oleh anggota Jabatan Penjara tiba di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
ABDUL Hadi Mawan antara tertuduh dikawal ketat oleh anggota Jabatan Penjara tiba di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
ANTARA kenderaan Jabatan Penjara yang membawa tertuduh tiba di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor
ANTARA kenderaan Jabatan Penjara yang membawa tertuduh tiba di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X