Selasa, 16 Januari 2018 | 12:43pm

Farid Kamil didakwa 4 pertuduhan

PETALING JAYA: Pelakon, Datuk Farid Kamil Zahari, hari ini didakwa atas empat pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam, Khamis lalu

Farid yang juga pengarah, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret, di sini.

Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua Farid Kamil, 37, didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Asyraf Ahmad dan Konstabel Mohd Nizam Jamaludin.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalang tugas polis.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Farid Kamil turut didakwa atas pertuduhan keempat iaitu berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan kepada Mohd Nizam, yang boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan terhadap mangsa.

Dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau maksimum penjara enam bulan atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu dilakukan di kaunter pertanyaan Balai Polis kota Damansara, di sini, pada jam 1.20 pagi, 11 Januari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faiq, menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Athari Bahardin yang bertindak sebagai peguam Farid Kamil memohon supaya anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah atas alasan menanggung seorang isteri, dua anak dan kedua ibu bapanya di kampung.

Majistret Nor Ariffin Hisham kemudian membenarkan Farid Kamil diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mac depan.

Isteri Farid Kamil, Diana Danielle, dilihat turut hadir ke mahkamah pada jam 9.20 pagi bersama adik Farid, Fadzil Bahari Zahari, yang juga bertindak sebagai penjamin.

PELAKON dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari yang menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam ditemani isteri, Diana Danielle memasuki Mahkamah Majistret 1, di Kompleks Mahkamah Petaling. - Foto Eizairi Shamsudin
PELAKON dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari yang menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam ditemani isteri, Diana Danielle memasuki Mahkamah Majistret 1, di Kompleks Mahkamah Petaling. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X