Selasa, 16 Januari 2018 | 1:56pm
K Poonganeswaran (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan menculik anak ahli perniagaan dan meminta wang tebusan sebanyak RM300,000 pada Disember lalu. - Foto Asri Sarifuddin Mamat

Penganggur didakwa culik anak ahli perniagaan

SHAH ALAM: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menculik anak seorang ahli perniagaan di Sungai Buloh, Disember lalu.

Tertuduh, K Poonganeswaran, 35, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Poonganeswaran didakwa bersama enam lagi yang masih bebas, menculik lelaki berusia 35 tahun itu dengan tujuan mendapatkan wang berjumlah RM300,000.

Perbuatan berkenaan dilakukan pada jam 9.10 malam, di Bandar Baru Sungai Buloh, pada 12 Disember lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961(365), yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Berdasarkan keterangan kes, mangsa diculik oleh sekumpulan lelaki yang menariknya masuk dalam sebuah kereta Perodua Myvi di Fasa 1, Sungai Buloh.

Penculik berkenaan kemudian meminta wang tebusan berjumlah RM10 juta sebelum keluarga mangsa membuat rundingan hingga suspek bersetuju melepaskan mangsa dengan wang tebusan berjumlah RM300,000.

Mangsa yang dikurung selama 21 hari itu dibebaskan pada 1 Januari 2018 di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Jasin.

Raja Noor Adilla menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi.

Berita Harian X