Rabu, 17 Januari 2018 | 7:25pm

Tunjuk kemaluan tanpa segan silu...

KUALA KUBU BARU: Seorang pekerja kedai pakaian di Jalan Orkid, Bukit Beruntung, di sini, terkejut apabila pelanggan pertama yang memasuki kedai itu pagi tadi menunjukkan kemaluannya tanpa segan silu.

Dalam kejadian pada jam 9.33 pagi itu, pekerja wanita berusia 24 tahun yang enggan dikenali itu terkejut selepas lelaki yang pada mulanya mendakwa mahu mencari seluar, menunjukkan kemaluan sambil menggoyangkan badannya berdekatan rak pameran yang menempatkan seluar panjang.

Mangsa kemudian bergegas memaklumkan perkara itu kepada rakan sekerjanya.

"Saya bimbang dan merasakan lelaki itu cuba melakukan gangguan seksual," katanya ketika ditemui pemberita petang tadi.

Wanita itu berkata, atas faktor keselamatan, beliau tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pemilik kedai yang enggan dikenali berkata, perbuatan jijik lelaki berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.

Katanya sebaik dimaklumkan mengenainya, beliau menghampiri lelaki itu dengan sebatang kayu untuk bertanya tujuannya, dan lelaki itu mendakwa mahu mencari seluar.

"Lelaki itu tidak mengaku perbuatannya dan berpura-pura mahu beli seluar dengan harga RM20 dan beredar beberapa minit kemudian.

"Saya hanya bimbang lelaki itu mengulangi perbuatan berkenaan kerana ia bukan kali pertama kejadian berlaku," katanya.

Rakaman kejadian berdurasi 40 saat itu turut tersebar di laman sosial Facebook (FB) selepas dimuat naik seorang pekerja premis terbabit namun dipadamkan tidak lama kemudian selepas lelaki berkenaan kembali ke kedai itu dan mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 10 saat yang tular menunjukkan perbuatan seorang lelaki sengaja mengeluarkan kemaluan di sebuah kedai menjual pakaian pagi smalam sebelum membuat laporan polis.
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 10 saat yang tular menunjukkan perbuatan seorang lelaki sengaja mengeluarkan kemaluan di sebuah kedai menjual pakaian pagi smalam sebelum membuat laporan polis.
Berita Harian X