Jumaat, 19 Januari 2018 | 2:35pm

Penganggur tak mengaku bersalah cederakan isteri

AYER KEROH: Seorang bapa tiga anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya, Ahad lalu.

Muhammad Irwan Johson Abdullah, 48, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan tangan dengan cara menumbuk muka dan memukul kepala isterinya berusia 38 tahun di sebuah rumah di Jalan Wakaf Bertam Ulu, jam 4 petang, pada 14 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah isterinya dan sekiranya tertuduh bebas dikhuatiri akan mengganggu isteri serta anaknya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memohon dibenarkan jaminan dengan alasan tindakannya itu didorong oleh perasaan marah disebabkan perbuatan isterinya yang didakwa melakukan hubungan sulit.

Mahkamah kemudian mengekalkan cadangan Muhammad Azri dan menetapkan 2 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

MUHAMMAD Irwan Johson Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan mencederakan isterinya, Ahad lalu. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X