Isnin, 22 Januari 2018 | 4:27pm
JURUJUAL, Nur Idayu Abdul Fatah, 30, dipenjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri 9 buah beg tangan berjenama bernilai RM50,000.
JURUJUAL, Nur Idayu Abdul Fatah, 30, dipenjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri 9 buah beg tangan berjenama bernilai RM50,000.

Padah 'panjang tangan'

PETALING JAYA: Seorang jurujual dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri 9 buah beg tangan berjenama bernilai RM50,000.

Majistret Shahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Idayu Abdul Fatah, 30, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nur Idayu didakwa sebagai pekerja Gorgeous Luxury, mencuri sembilan buah beg tangan berjenama antaranya Dior dan Givenchy, bernilai RM50,000 milik butik berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah butik menjual beg di Jalan PJS 15/8B, Subang Jaya, di sini, jam 11 pagi, 16 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya, menerusi peguam Datin Raj Preet Kaur memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menanggung tiga adik yang masih bersekolah dan ibunya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tidak mengulangi kesalahan sama di masa depan.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga pemilik butik berkenaan, pada hari kejadian mendapati sembilan buah beg tangan berjenama yang sebelum ini dipamerkan di kedainya hilang.

Mangsa mencari kesemua beg itu di rumah dan butiknya namun masih tidak ditemui.

Pemilik itu kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan satu tangkapan terhadap tertuduh dilakukan berdasarkan siasatan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X