Isnin, 22 Januari 2018 | 9:24pm
JURUKIMPAL maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang lori di di Kilometer 23.7 Lebuhraya Kesas petang tadi - Foto ihsan PDRM
JURUKIMPAL maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang lori di di Kilometer 23.7 Lebuhraya Kesas petang tadi - Foto ihsan PDRM

Jurukimpal terbunuh motosikal rempuh lori

KLANG: Seorang jurukimpal maut selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang lori di Kilometer 23.7 Lebuhraya KESAS, arah Klang menghala ke Shah Alam, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata, mangsa Jumadi Mohd Tahir, 30, dipercayai menunggang dengan laju dan gagal mengawal motosikalnya lalu terlanggar belakang kiri lori yang rosak dan diletakkan di lorong kecemasan.

"Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang tadi, mangsa yang bekerja di Kampung Jawa dalam perjalanan ke tempat kerjanya dengan membawa besi.

"Akibat perlanggaran, mangsa tercampak ke atas jalan dan motosikal ditungganginya terperosok ke bawah lori terbabit. Mangsa yang cedera di kepala dan dada meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.

Shamsul Amar berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, ketika kemalangan keadaan jalan kering, cuaca baik, manakala lalu lintas sibuk.

Berita Harian X