Selasa, 23 Januari 2018 | 4:24pm
AHLI Parlimen Taiping, Nga Kor Ming. - Foto Yazit Razali

KKMM tidak campur tangan siasatan terhadap Kor Ming

KELANA JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat siasatan terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang didakwa menyebarkan kandungan jelik menerusi media sosial tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari, berkata KKMM juga tidak akan campur tangan dengan sebarang tindakan yang bakal dikenakan oleh SKMM terhadap Ahli Parlimen Taiping itu.

"KKMM menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab siasatan itu kepada SKMM untuk mereka mengambil apa saja tindakan sekiranya beliau (Kor Ming) di dapati bersalah.

"Cuma nasihat saya, apabila kerajaan memberikan kemudahan internet, gunakan untuk berkongsi perkara berfaedah.

"Jangan kongsi perkara yang kita rasa tidak betul kerana ia akan memberi perhatian kepada umum dan melahirkan fitnah, ini adalah cadangan terbaik saya," katanya yang di temui media pada kunjungannya ke rumah pelakon veteran yang juga bekas penyampai radio RTM, Fatimah Yasin, 79 di kediaman anaknya di sini, hari ini.

Pada 18 Januari lalu, SKMM yang dibantu anggota polis menggeledah rumah Kor Ming di rumah keluarganya di Ayer Tawar, Sitiawan dan pejabat pusat khidmatnya di Taiping.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Jailani enggan mengulas mengenai isu kebocoran data peribadi lebih 46 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini.

"Kes itu masih dalam siasatan polis, KKMM akan membantu dari segi teknikal saja. Sebenarnya isu kebocoran data ini bukan saja berlaku di negara kita tetapi turut berlaku dari seluruh dunia," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan data peribadi kira-kira 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini berisiko, susulan laporan ada pengiklanan menjual data pengguna yang disyaki diperoleh secara tidak sah.

Berita Harian X