Rabu, 24 Januari 2018 | 4:56pm
DUA cedera dan 13 terselamat selepas van membawa penumpang warga asing merempuh seekor lembu di Kilometer 320.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan.- Foto ihsan Bomba

2 cedera van rempuh lembu

TAPAH: Dua lelaki termasuk seorang warga asing cedera manakala 13 lagi terselamat selepas van mereka merempuh seekor lembu di Kilometer 320.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini, awal hari ini.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, pemandu van, Mohd Ali Hussein, 30, dan penumpang warga Myanmar, Abu Kassim Mohd Elyas, cedera kaki kiri.

Seramai 13 penumpang lain warga Myanmar yang turut menaiki kenderaan itu selamat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata van berkenaan dalam perjalanan dari Butterworth menghala ke Kuala Lumpur untuk urusan dokumentasi semua warga Myanmar di pejabat Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, van berkenaan melanggar seekor lembu yang berada di atas lebuh raya sebelum kenderaan itu terbabas ke bahu jalan.

"Akibatnya, pemandu van dan seorang penumpang di bahagian hadapan cedera kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Tapah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pemeriksaan terhadap semua penumpang warga asing mendapati mereka memiliki kad UNHCR.

Berita Harian X