Khamis, 25 Januari 2018 | 9:44am
KEADAAN banjir kilat di Kampung Juntai, Jelebu.
KEADAAN banjir kilat di Kampung Juntai, Jelebu.
KEADAAN banjir kilat di Kampung Juntai, Jelebu.
KEADAAN banjir kilat di Kampung Juntai, Jelebu.

Banjir kilat: 3 keluarga dipindahkan awal pagi

JELEBU: Hujan lebat lebih tiga jam menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan rendah di Kampung Juntai, Simpang Durian di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, 12 penduduk daripada tiga keluarga terpaksa dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air mencecah kedalaman 0.5 meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu, Md Marisa Aminuddin, berkata semua mangsa banjir terbabit ditempatkan sementara di balai raya kampung itu.

"Usaha menyelamat dan memindahkan mangsa turut dibantu pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, polis serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Difahamkan hujan lebat bermula jam 5 petang dan berlarutan hingga jam 8 malam menyebabkan paras air Sungai Triang meningkat sebelum mula melimpah tengah malam tadi," katanya.

Beliau berkata, paras air sungai itu sudah kembali normal dan penduduk dijangka pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut tidak lama lagi.

Selain Kampung Juntai, beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan banjir kilat di Kampung Petasih Hulu, Kampung Peradong dan Kampung Chennah di sini, awal pagi tadi, namun tidak membabitkan pemindahan penduduk.

Berita Harian X