Khamis, 25 Januari 2018 | 1:03pm

Farid Kamil didakwa ambil dadah

PETALING JAYA: Seminggu selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan mencederakan anggota polis dan orang awam, Datuk Farid Kamil hari ini sekali lagi dibawa ke mahkamah sama, kali ini bagi dakwaan memasukkan dadah ke dalam badan.

Pelakon yang popular dengan filem Lagenda Budak Setan itu kelihatan tenang dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Majistret Nor Ariffin Hisham.

Farid didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Pengarah filem itu atau nama penuhnya, Farid Kamil Zahari, 37, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam, Athari Bahardin.

Athari bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang ringan kerana tertuduh penanggung utama keluarga.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Nor Ariffin membenarkan Farid diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Farid yang tidak ditemani isterinya, Datin Diana Danielle, tiba di perkarangan mahkamah pada jam 9 pagi.

Beliau bagaimanapun hanya berada di dalam kereta sehingga dibawa ke kaunter pendaftaran kes oleh pegawai polis pada jam 10.30 pagi.

Apabila selesai pendaftaran kes, Farid yang diitemani adiknya, Fadzil Bahari dibawa ke Mahkamah Majistret 1 untuk prosiding pendakwaan.

9721 dibaca
DATUK Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X