Sabtu, 27 Januari 2018 | 11:06pm
MAYAT mangsa yang dipercayai terjun dari Jambatan Banting di Selangor, ditemui petang tadi. - Foto ihsan bomba

'Bagi alasan hendak muntah'

BANTING: Mayat seorang lelaki ditemui, petang tadi selepas lebih 24 jam dipercayai terjun dari Jambatan Banting, di sini.

Mayat mangsa ditemui kira-kira lima kilometer dari jambatan terbabit di Telok Datok.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata kerja mencari menyelamat itu masuk hari kedua selepas bomba menerima panggilan daripada keluarga mangsa, petang semalam.

"Bomba menemui mangsa pada jam 4.29 petang tadi pada jarak lima kilometer dari Jambatan Banting.

"Mayat mangsa yang berusia 59 tahun, diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Alimaddia berkata, ahli keluarga memaklumkan mangsa terjun dari jambatan itu sejurus meminta kereta diberhentikan dengan alasan hendak muntah.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat membabitkan 14 anggota daripada dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Banting dan Shah Alam.

Operasi turut dibantu enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman @ A Rahman, ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat, esok.

Berita Harian X