Ahad, 28 Januari 2018 | 12:06pm
PENGURUS besar sebuah hotel, Mazuki Husin, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan perkhidmatan sewaan bas. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Pengurus besar hotel dituduh buat tuntutan palsu

KUALA TERENGGANU: Pengurus besar sebuah hotel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berkaitan tuntutan palsu perkhidmatan sewa bas.

Tertuduh, Mazuki Husin, 55, didakwa memberikan tuntutan palsu kepada Pengurus Jualan dan Pemasaran hotel sama, Tina Surinda Abdul Karim dengan niat memperdayakan prinsipal tertuduh iaitu pengurus akaun.

Tertuduh didakwa memberi satu resit bertarikh 27 September 2014 sebagai satu dokumen berkaitan perkhidmatan sewaan bas bernilai RM1,400 sedangkan caj sebenar daripada syarikat bas adalah RM650 di sebuah hotel di daerah ini pada 28 September 2014

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Mahkamah menetapkan 21 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam, Zul Basysyar.

Berita Harian X