Isnin, 29 Januari 2018 | 12:19pm

Kastam rampas dadah RM18 juta

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah seberat 880 kilogram bernilai RM18 juta dalam serbuan di Kajang, Selangor, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam, berkata hasil maklumat orang awam, sepasukan anggota membuat serbuan di sebuah premis yang dijadikan stor simpanan kira-kira jam 11.30 malam, dan menemui 31 guni dadah jenis heroin seberat 766 kilogram dan enam guni dadah jenis ketamin seberat 114 kilogram.

Katanya, semua dadah yang diisytihar sebagai garam itu, dibawa menggunakan dua kontena dari Karachi, Pakistan melalui Pelabuhan Klang.

"Kita turut menahan 18 orang warga asing termasuk tiga wanita iaitu 10 Pakistan dan masing-masing empat Myanmar dan Indonesia berusia 18 sehingga 50 tahun.


Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam (empat dari kiri) menunjukkan dadah berbahaya 880 kilogram dengan nilai RM 18 juta yang disimpan dalam dua buah lori kontena pada sidang media rampasan dadah oleh Jabatan Kastam Malaysia di cawangan narkotik Kampung Jijan, Nilai. - Foto Hazreen Mohamad

Pasukan COBRA Kastam Diraja Malaysia bersama dadah berbahaya 880 kilogram dengan nilai RM 18 juta yang disimpan dalam dua buah lori kontena pada sidang media rampasan dadah oleh Jabatan Kastam Malaysia di cawangan narkotik Kampung Jijan, Nilai. - Foto Hazreen Mohamad

"Siasatan awal mendapati sindiket ini dipercayai didalangi oleh warga asing dan sebahagian daripada mereka yang ditahan adalah suspek utama.

"Kita percaya Malaysia hanya menjadi transit dadah ini dan akan menyiasat sama ada terdapat pembabitan warga tempatan atau sebaliknya," katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di sini, hari ini.

Subromaniam berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan meletakkan setiap guni dadah seberat 25 kilogram itu, bersama 1,885 guni garam, bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, siasatan terhadap semua warga asing itu mendapati hanya tujuh daripada mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dan akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan seterusnya.

"Semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai Sabtu lalu untuk dijalankan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam (tiga dari kanan) menunjukkan dadah berbahaya 880 kilogram dengan nilai RM 18 juta yang disimpan dalam dua buah lori kontena pada sidang media rampasan dadah oleh Jabatan Kastam Malaysia di cawangan narkotik Kampung Jijan, Nilai. - Foto Nazreen Mohamad
Berita Harian X