Rabu, 31 Januari 2018 | 11:45am
DATUK Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.- Foto Mohd Azren Jamaluddin

Ancaman bom 'Daesh' tidak benar

KUALA LUMPUR: Dakwaan 12 pusat servis sebuah syarikat kenderaan import di lapan negeri menerima panggilan ancaman bom dari individu yang mendakwa sebagai kumpulan pengganas Daesh, semalam adalah panggilan palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata sebaik menerima maklumat, Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia menjalankan pemeriksaan di semua premis berkenaan dan mendapati ia tidak benar.

"Kita dapati semua ancaman yang dilaporkan suspek kepada kakitangan semua pusat servis itu adalah tidak benar.

"Pada masa ini, polis di setiap negeri yang terbabit masih menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang membuat panggilan berkenaan," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, meskipun ia adalah panggilan palsu, sebanyak 12 laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dilakukan.

"Untuk peringkat awal ini kita masih belum dapati mengetahui motif sebenar suspek yang melakukannya namun siasatan sedang dilakukan," katanya.

Sementara itu, sumber kakitangan syarikat berkenaan mendakwa antara premis yang dihubungi adalah di sekitar Lembah Klang, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Kelantan.

"Menerusi maklumat dari grup Whatsapp syarikat kami, suspek mula menghubungi cawangan pusat servis sejak jam 2.40 petang hingga 7.15 malam.

"Suspek memaklumkan kononnya ada bom di dalam pusat servis yang dihubungi dan meminta semua kakitangan dan mekanik lari menyelamatkan diri," katanya.

Berita Harian X