Rabu, 31 Januari 2018 | 12:02pm
Bot nelayan tempatan yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 3 Lumut di Pulau Pangkor, Lumut. - Foto ihsan APMM

Asyik tangkap ikan tak sedar langgar zon

LUMUT: Tidak sedar memasuki zon larangan alasan lapuk diberikan lima nelayan tempatan dan seorang warga Thailand yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Pulau Pangkor dekat sini, semalam.

Enam lelaki itu ditahan bersama dua bot nelayan kelas B1 dan C yang berpangkalan di Pulau Pangkor pada jam 3.20 dan 4.45 petang.

Difahamkan, nelayan berusia antara 33 hingga 68 tahun baru sehari keluar menggunakan dua bot itu ke laut dan sudah menangkap 80 kilogram (kg) pelbagai jenis ikan.

Pengarah Maritim, Daerah Maritim 3 Lumut, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah, berkata dua bot itu ditahan kerana melakukan kesalahan melanggar syarat lesen mengikut Akta Perikanan 1985.

Katanya, mereka didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan.

"Kedua-dua bot itu ditahan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan kira-kira tujuh batu nautika hingga 10 batu nautika dari barat laut Pulau Pangkor.

"Kedua-dua bot dan semua yang ditahan itu dibawa ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan penguatkuasaan di perairan daerah ini.

"Maritim Malaysia akan bertindak tegas kepada mana-mana bot yang didapati melanggar peraturan bagi mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut," katanya.

Mengikut peraturan bot kelas B1 mesti menangkap ikan lapan batu nautika ke atas dan bagi kelas C pula 12 batu ke atas.

Berita Harian X