Rabu, 31 Januari 2018 | 10:17pm
AHLI Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika sidang media majlis Pelancaran Ulang Tahun Pasar Tani Ke-33 dan Pelancaran Program Stok Bekalan Negara di Pasar Tani Perling Mall, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
AHLI Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika sidang media majlis Pelancaran Ulang Tahun Pasar Tani Ke-33 dan Pelancaran Program Stok Bekalan Negara di Pasar Tani Perling Mall, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

PDRM kerjasama Australia, UK kesan pornografi kanak-kanak

JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis Australia dan United Kingdom (UK) bagi mempelajari teknik terbaru mengesan kegiatan pornografi kanak-kanak, dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata polis juga turut memantau kegiatan memuat naik dan memuat turun pornografi kanak-kanak melalui internet.

"Polis sentiasa memantau mereka yang memuat turun pornografi kanak-kanak, terutama selepas seorang rakyat British, Richard Huckle yang dikesan membuat penderaan seksual kanak-kanak dengan menggunakan Malaysia sebagai pusat untuk dia berbuat demikian, tahun lalu.

"Jadi polis sentiasa ditambah upaya untuk mengesan kegiatan memuat turun pornografi kanak-kanak melalui internet," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-33 Pasar Tani Peringkat Johor dan Pelancaran Program Stok Bekalan Negara, di Pasar Tani Perling Mall, di sini.

Beliau mengulas laporan bahawa Malaysia mencatatkan bacaan alamat IP tertinggi di Asia Tenggara dalam memuat naik dan memuat turun gambar serta visual pornografi kanak-kanak, selain jumlah kanak-kanak jatuh ke tangan penjenayah yang dikenali melalui dalam talian juga dilaporkan meningkat.

Data menunjukkan hampir 20,000 alamat IP di Malaysia yang memuat naik dan memuat turun gambar serta visual pornografi kanak-kanak.

Nur Jazlan juga mengakui pihak polis menghadapi masalah untuk mengesan pelaku jenayah pornografi kanak-kanak kerana kebiasaannya mereka berselindung di sebalik nama yang tidak dikenali dan menggunakan saluran alamat IP sukar dikesan.

Berita Harian X