Khamis, 1 Februari 2018 | 6:34pm
EMPAT individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk terselamat apabila pesawat ringan jenis Cirrus 9M-ZWR yang dinaiki mereka tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Tekek, Pulau Tioman. - Foto ihsan Polis

EMPAT orang berdepan detik cemas apabila pesawat ringan dinaiki tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Tekek, Pulau Tioman, hari ini.- Foto ihsan Polis
EMPAT orang berdepan detik cemas apabila pesawat ringan dinaiki tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Tekek, Pulau Tioman, hari ini.- Foto ihsan Polis

Pesawat tergelincir di Pulau Tioman

ROMPIN: Empat orang berdepan detik cemas apabila pesawat ringan dinaiki tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Tekek, Pulau Tioman, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, Datuk Anuar Hassan, 48, isterinya, Datin Siti Norlaila Abu Bakar, 46; pembantu peribadi, Muhammad Abdul A'lim Salleh, 28, serta juruterbang, Wan Mohd Faizul Rizal, 35, cedera ringan dan lebam akibat terhantuk.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata siasatan mendapati pesawat ringan jenis Cirrus 9M-ZWR itu berlepas dari Lapangan Terbang Senai, Johor untuk ke Pulau Tioman.

"Sebaik ingin mendarat, pesawat berkenaan gagal dikawal akibat angin lintang, menyebabkannya tergelincir dari landasan.

"Kita difahamkan kelajuan angin ketika kejadian adalah kira-kira 10 knot.

"Bagaimanapun, semua mangsa terselamat dan hanya cedera ringan akibat terhantuk ketika kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azli berkata, pesawat berkenaan adalah milik Anuar dan difahamkan mereka ke pulau peranginan itu untuk urusan perniagaan.

Katanya, Wan Mohd Faizul bertugas sebagai juruterbang pesawat berkenaan sejak lapan bulan lalu dan mempunyai lesen penerbangan sejak 2010.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini," katanya.

Berita Harian X