Jumaat, 2 Februari 2018 | 4:50pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan seorang pembantu pegawai perubatan rentung dalam satu kemalangan jalan raya, di Batu 9, Jalan Labuk, Sandakan. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan seorang pembantu pegawai perubatan rentung dalam satu kemalangan jalan raya, di Batu 9, Jalan Labuk, Sandakan. - Foto Ihsan Bomba

Jururawat rentung kereta dinaiki terbabas, terbakar

SANDAKAN: Seorang jururawat rentung selepas kereta dinaiki terbakar selepas terhumban sejauh kira-kira 100 meter sebelum merempuh sebuah rumah kosong di Batu 9, Jalan Labuk, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, Lydricca Koh, 28, dilaporkan tersepit dan rentung dalam kereta terbabit, manakala pemandu kereta jenis Mazda, Karthigaiyan Rajalingam yang juga pegawai perubatan berusia 30 tahun cedera di leher, kaki dan kepala.

Difahamkan, kedua-dua mangsa bertugas di Hospital Beluran.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Batu 10 menghala Batu 8, di sini.

"Apabila sampai di bulatan Batu 9, kenderaan mereka hilang kawalan lalu terlanggar bulatan dan terbabas sejauh lebih kurang 100 meter ke hadapan. Kenderaan mangsa turut merempuh tiga tiang elektrik dan sebuah rumah kosong tidak berpenghuni.

"Sejurus kejadian, pemandu berjaya dikeluarkan oleh orang awam, namun penumpang tidak dapat diselamatkan akibat tersepit di bahagian tempat duduk belakang dan api sudah marak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Azhar berkata, penumpang wanita dilaporkan rentung di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat, manakala pemandu kenderaan dikejarkan ke wad kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Anddre Andrew, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.20 pagi sebelum menghantar tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati sebuah kenderaan terbabas ke kiri jalan raya dan merempuh sebuah rumah kosong sedang terbakar. Usaha mengawal kebakaran segera dijalankan dan api berjaya dikawal pada jam 5.04 pagi.

"Sorang wanita kemudian ditemui rentung dalam kereta terbabit, manakala rumah kosong berkenaan musnah terbakar 90 peratus," katanya.

Berita Harian X