Jumaat, 2 Februari 2018 | 7:44pm
KEDIAMAN mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah di Port Dickson.- Foto Iqmal Haqim Rosman
KEDIAMAN mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah di Port Dickson.- Foto Iqmal Haqim Rosman

Dia kelihatan kurang sihat - Guru mengaji

PORT DICKSON: "Pada malam itu (semalam) dia datang mengaji al-Quran di rumah saya seperti biasa walaupun dia kelihatan kurang sihat dan lebih banyak diam."

Demikian kata seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 66, menceritakan mengenai Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa dan ibu tirinya, semalam.

Siti yang juga guru mengaji kepada mangsa berkata, beliau sempat menatap jenazah arwah buat kali terakhir sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kepayang, Ipoh, Perak.

"Pada malam kejadian, Aina (arwah) dan abangnya berusia 11 tahun datang mengaji al-Quran selepas solat Maghrib. Ketika itu, arwah nampak lain dan lebih banyak diam.

"Apabila ditanya, Aina hanya tunduk dan memberitahu tiada apa-apa berlaku. Saya hanya mengetahui Aina meninggal dunia selepas diberitahu jiran, keesokan pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Vista Jaya di sini, hari ini.

Katanya, dia terkejut dengan berita kematian itu dan tidak menyangka mangsa menanggung penderitaan didera oleh bapa kandung dan ibu tirinya, sejak sekian lama.

Siti berkata sebelum ini beliau pernah melihat kesan lebam pada wajah mangsa ketika datang mengaji al-Quran, namun apabila ditanya mangsa memberitahu kecederaan itu akibat terjatuh.

"Arwah sangat baik dan pernah mengikut saya ke masjid berhampiran kawasan perumahan ini jika ada aktiviti agama selain pandai mengaji dan solat sunat.

"Sepanjang mengenalinya, arwah memang takut dengan bapanya yang dipanggil Baba. Arwah akan segera pulang ke rumah apabila dipanggil," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Mohamad Hapil, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak mengambil hak penjagaan sementara anak lelaki suspek yang juga abang mangsa sebaliknya berada di bawah penjagaan ahli keluarga lain di Perak.

Berita Harian X