X
Sabtu, 3 Februari 2018 | 4:50pm
POLIS Sabah akan mendakwa pemilik senjata api dan premis menjual peluru serta senjata api berlesen di negeri ini jika didapati menjual peluru kepada pemilik bakakuk atau senapang patah buatan sendiri.
POLIS Sabah akan mendakwa pemilik senjata api dan premis menjual peluru serta senjata api berlesen di negeri ini jika didapati menjual peluru kepada pemilik bakakuk atau senapang patah buatan sendiri.

'Jangan jual peluru sesuka hati'

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan mendakwa pemilik senjata api dan premis menjual peluru serta senjata api berlesen di negeri ini jika didapati menjual peluru kepada pemilik bakakuk atau senapang patah buatan sendiri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata pihaknya juga akan menarik balik lesen senjata api dan perniagaan individu yang terbabit dengan perbuatan menyalahi undang-undang itu, sejajar usaha polis kontinjen Sabah memerangi penggunaan bakakuk.

Beliau turut mengingatkan sesiapa yang memiliki bakakuk atau senjata buatan sendiri termasuk `ginsuk' dan senapang angin supaya menyerahkan senjata haram berkenaan kepada polis sebelum mereka dikesan dan diambil tindakan undang-undang.

"Kita minta orang yang ada bakakuk menyerahkan kepada pihak berkuasa. Bagi yang menjual peluru kepada pemilik bakakuk, jika kita dapati orang berlesen (senjata api) menjual peluru kepada orang tiada permit, kita akan tarik balik lesen mereka.

"Begitu juga kedai yang diberi lesen menjual senjata api dan peluru, mereka diminta tidak sesuka hati jual peluru dan kalau didapati menjual kepada orang tiada permit, mereka boleh didakwa dan lesen perniagaan senjata api dan peluru akan ditarik balik," katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Meskipun penggunaan bakakuk dilarang di Sabah, senjata api buatan sendiri itu masih digunakan penduduk negeri ini untuk memburu atau menjaga tanaman daripada serangan binatang liar dan penggunaannya dipercayai dipercayai berleluasa sejak tahun 1980-an.

Terbaru, seorang petani berusia 89 tahun maut tertembak ketika berburu di hutan di Kampung Kauran, Kemabong di Tenom pada 17 Januari lalu, dipercayai dilepaskan seorang lelaki lain yang berburu di sekitar tempat sama menggunakan senjata jenis bakakuk.

Ramli berkata, langkah itu penting bagi memastikan penggunaan senjata haram seperti bakakuk dihentikan kerana ia amat berbahaya terutama jika dikendalikan orang tidak mahir atau tiada kelayakan, selain digunakan untuk tujuan jenayah.

"Daripada tangkapan yang dibuat, kita dapati mereka ada kemahiran untuk membuat senjata api ini. Kalau kita lihat, industri ini (membuat senjata api) juga banyak di Filipina, di kampung-kampung dan di Sabah juga ada.

"Selain bakakuk, ada juga `ginsuk' iaitu senjata api yang menggunakan pelet timah sebagai peluru yang dimampatkan bersama belerang bagi meletupkannya dan ia boleh mencederakan. Satu lagi ialah senapang angin, ini juga boleh menyebabkan kecederaan," katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya tidak bercadang melaksanakan semula Ops Semak yang pernah dilancarkan pada 1996 bagi mengesan senjata api tidak berlesen di negeri ini.

Ketika itu, katanya, Ops Semak dibuat berikutan kes seorang individu yang dipercayai pedagang senjata api dari Sabah ditahan di Taiwan.

Berita Harian X