Rabu, 7 Februari 2018 | 1:18pm
GAMBAR fail, Muhammad Ridhuan Abdullah, 48, yang gagal menyerahkan anaknya, Prasana Diksa, 9, kepada jagaan bekas isteri seperti perintah mahkamah.

Elak spekulasi - PDRM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya menjauhi spekulasi berhubung isu berkaitan Muhammad Ridhuan Abdullah, 48, yang gagal menyerahkan anaknya, Prasana Diksa, 9, kepada jagaan bekas isteri seperti perintah mahkamah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pihaknya terus berusaha dengan pelbagai cara bagi mengesan dua beranak itu.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung isu berbangkit yang boleh mewujudkan ketegangan dan mengganggu ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Ridhuan didakwa gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada bekas isterinya, M Indira Gandhi, 43, seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Pencarian Prasana Diksa kembali menjadi tumpuan selepas Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu membuat keputusan penukaran agama tiga anak Indira hampir 10 tahun lalu kepada Islam, adalah terbatal dan tidak sah mengikut undang-undang.

Selain Prasana Diksa, dua lagi anak mereka ialah Tevin Darsiny, 21, dan Karan Dinish, 20, berada dalam jagaan Indira.

Berita Harian X