Rabu, 7 Februari 2018 | 1:40pm
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. - Foto Hairul Anuar Rahim

Polis terus cari Prasana Diksa

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi menegaskan tidak pernah berhenti menjalankan operasi pencarian Muhammad Ridhuan Abdullah, 48, dan anaknya, Prasana Diksa, 9.

Muhammad Ridhuan didakwa gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada bekas isterinya, M Indira Gandhi seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pelbagai usaha sudah dilaksanakan, termasuk meminta bantuan masyarakat mengesan dua individu terbabit.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berbangkit yang boleh mewujudkan ketegangan dan mengganggu ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pencarian Prasana Diksa kembali menjadi tumpuan selepas Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu membuat keputusan penukaran agama tiga anak Indira hampir 10 tahun lalu kepada Islam, adalah terbatal dan tidak sah mengikut undang-undang.

Selain Prasana Diksa, dua lagi anak mereka ialah Tevin Darsiny, 21, dan Karan Dinish, 20.

Berita Harian X