Rabu, 7 Februari 2018 | 9:17pm
MOHD Zani Che Din. - Foto BERNAMA

'Kita tunggu mereka datang...'

PETALING JAYA: Polis sudah menghubungi dua lagi artis untuk memberi keterangan berhubung laporan dibuat pelakon Datuk Farid Kamil.

Berusia dalam lingkungan 40-an, seorang daripadanya menganggotai kumpulan nasyid manakala seorang lagi sebuah kumpulan R&B yang popular sekitar 90-an.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pihaknya akan menjalankan ujian air kencing ke atas kedua-duanya jiwa wujud keperluan berbuat demikian.

"Prosedurnya sama seperti yang dilakukan ke atas pelakon Sofi Jikan yang ditahan malam tadi.

"Kita masih menunggu kehadiran kedua-dua artis ini bagi melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Malam tadi, Sofi Jikan atau Mohamad Shoffi Jikan, 48, ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara pada jam 11 malam, selepas hadir memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu.

Sebaik diambil keterangan, pihak polis menjalankan ujian air kencing terhadap pelakon itu dan mendapatinya positif mengambil dadah jenis ganja.

Pada 31 Januari lalu, Farid Kamil mendakwa tiga rakan artis memasukkan dadah ke dalam minuman tanpa pengetahuannya hingga menjadi punca dia bertindak ganas di ketika di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu.

3902 dibaca
Berita Harian X