Jumaat, 9 Februari 2018 | 4:04pm
AHMAD Faizal Razab, 35 dilindung oleh ahli keluarganya keluar dari Mahkamah Sesyen di sini selepas dijatuhkan hukuman penjara 28 tahun 18 sebatan atas tuduhan merogol dan meliwat remaja perempuan berusia 14 tahun. NSTP/ Muhd Asyraf Sawal
AHMAD Faizal Razab, 35 dilindung oleh ahli keluarganya keluar dari Mahkamah Sesyen di sini selepas dijatuhkan hukuman penjara 28 tahun 18 sebatan atas tuduhan merogol dan meliwat remaja perempuan berusia 14 tahun. NSTP/ Muhd Asyraf Sawal

Pekerja resort dipenjara 36 tahun, 18 sebatan

TEMERLOH: Pekerja sambilan sebuah resort di Raub, dihukum penjara 36 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah merogol serta meliwat seorang remaja perempuan, Disember lalu.

Tertuduh, Ahmad Faizal Razab, 35, dari FELDA Tersang, Raub, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya, termasuk satu tuduhan liwat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun tanpa kerelaan di Lata Lembik Eco Park, Raub, jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi 8 Disember lalu.

Dalam pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di lokasi sama pada jam 11.30 malam 9 Disember hingga jam 8 pagi 10 Disember lalu, terhadap mangsa tanpa kerelaan.

Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang 10 tahun penjara hingga 30 tahun penjara dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam pertuduhan ketiga, Ahmad Faizal didakwa melakukan persetubuhan di luar tabii, iaitu memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa tanpa kerelaan antara jam 1 pagi hingga 8 pagi 9 Disember lalu di resort di Lata Lembik Eco Park, Raub.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dihukum penjara 14 tahun serta tujuh sebatan bagi pertuduhan pertama, dan penjara 14 tahun serta tujuh sebatan bagi pertuduhan kedua, manakala pertuduhan ketiga pula penjara lapan tahun serta empat sebatan.

Hakim memerintahkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan ketiga berjalan serentak bermula dari tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu. Berikutan itu, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 28 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim.

Tertuduh tidak diwakili peguam, dalam rayuan meminta mahkamah mempertimbangkan keadaan dirinya perlu menyara isteri dan empat anak, menanggung seorang adik yang belajar di universiti, serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

Berita Harian X