Ahad, 11 Februari 2018 | 12:46pm
PENGARAH Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis yang ditahan pada 29 Januari lalu selepas disyaki terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Amran Hamid
PENGARAH Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis yang ditahan pada 29 Januari lalu selepas disyaki terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). - Foto Amran Hamid

Pengarah JPS Perlis dibebas dengan jaminan SPRM

ALOR SETAR: Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis yang ditahan pada 29 Januari lalu selepas disyaki terbabit dengan rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim, membenarkan pengarah berusia 60 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM100,000 bersama seorang penjamin.

Berdasarkan maklumat, suspek kemudian membayar wang jaminan berkenaan kepada SPRM.

Sebelum ini, suspek ditahan reman selama 13 hari bermula pada 30 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen23 Akta SPRM 2009.

Turut ditahan SPRM sebelum ini adalah dua ahli perniagaan, termasuk seorang yang dipercayai anak pengarah berkenaan. Namun mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 5 Februari lalu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bahawa pengarah berkenaan hidup mewah, disyaki hasil suapan sebanyak 10 peratus diperoleh daripada setiap projek JPS yang diluluskan di Perlis sejak 2014.

Pengarah terbabit juga dipercayai mempunyai pelbagai aset mewah termasuk sebuah kilang memproses air di Perlis.

Hasil penahanan itu, SPRM kemudiannya membekukan 17 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM4 juta termasuk milik ahli keluarga pengarah terbabit serta wang tunai berjumlah RM900,000.

Berita Harian X