Isnin, 12 Februari 2018 | 6:51pm
SEORANG pembantu rumah warga negara Indonesia berusia 21 tahun dibiarkan tidur diluar perkarangan rumah, selepas didakwa cedera serta lebam dan luka di beberapa anggota badan akibat didera majikannya di Taman Kota Perami, Bukit Mertajam. - Foto Ihsan Pembaca
KONSUL Konsuler Pejabat Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Neni Kurniati (tengah) semasa hadir di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, berkenaan pengurusan mayat seorang mangsa wanita Indonesia didakwa cedera serta lebam dan luka di beberapa anggota badan akibat didera majikannya. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Amah mangsa dera berkhidmat sejak 2014

SEBERANG JAYA: Pembantu rumah warga Indonesia yang mati dipercayai didera majikannya petang semalam, sudah berkhidmat dengan keluarga itu sejak Disember 2014.

Konsulat Hal Ehwal Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kurniati, berkata sepanjang tempoh itu, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mangsa berhubung penderaan dilakukan majikannya.

Beliau berkata, pemeriksaan pihaknya turut mendapati mangsa dikenali sebagai Adelina Lisao, 26, sudah beberapa kali bekerja di Malaysia sebelum ini.

"Kami tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mangsa sejak dia mula bekerja dengan majikannya itu pada 2014.

"Adelina juga memiliki pasport yang sah, namun kami sedang memeriksa dengan Jabatan Imigresen untuk mengetahui sama ada mangsa mempunyai permit kerja sah di sini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Neni berkata, Adelina yang berasal dari Nusa Tenggara Timur, difahamkan dibawa masuk oleh sebuah agensi pembantu rumah berpangkalan di Malaysia.

Ketika ini, beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memperoleh laporan tepat berhubung kes berkenaan.

"Kita masih memeriksa lebih banyak butiran, termasuk mencari alamat sebenar waris Adelina di Indonesia.

"Selepas semua proses selesai, baru kita membuat keputusan langkah seterusnya seperti urusan pengebumian dan lain-lain," katanya.

Kelmarin, Adelina berjaya diselamatkan polis selepas didakwa didera oleh majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam di sini.

Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, muka dan kedua-dua kaki, meninggal dunia petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Susulan itu, polis menahan dua beradik berusia 36 dan 39 tahun yang juga majikan Adelina bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

7794 dibaca
Berita Harian X