Isnin, 12 Februari 2018 | 7:22pm
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Saddam Yusoff

'Jatuhkan hukuman paling berat' - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mahu tindakan tegas diambil terhadap majikan yang menganiaya dan melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap pembantu rumah mereka.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penderaan fizikal dalam apa jugaa bentuk tidak boleh diterima dan pelaku perlu dikenakan hukuman setimpal.

"Penderaan sedemikian boleh digambarkan sebagai "jenayah kemanusiaan" dan boleh mencetuskan kemarahan serta menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dengan negara jiran.

"Hukuman paling berat perlu dikenakan ke atas majikan yang terbabit jika mereka didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes terbaharu, seorang pembantu rumah dari Indonesia meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang sehari selepas wanita itu diselamatkan pihak polis.

Adelina, 21, didakwa didera oleh majikannya dan terpaksa tidur di pekarangan rumah dengan anjing peliharaan selama sebulan.

Kumpulan hak asasi manusia, Tenaganita, memaklumkan mangsa diselamatkan pihak polis dan dihantar ke hospital selepas pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam membuat laporan, Sabtu lalu.

Lam Thye berkata, majikan yang berhadapan masalah dengan pembantu rumah harus bersabar dan cuba menyelesaikannya tanpa membabitkan penderaan fizikal.

"Jika mereka berasakan pembantu rumah itu tidak sesuai selepas tempoh tertentu, majikan boleh menghantar pulang dan menggantikannya dengan calon lain.

"Saya percaya Jabatan Imigresen boleh membantu mempercepatkan permohonan mereka," katanya.

3377 dibaca
Berita Harian X