Selasa, 13 Februari 2018 | 12:55pm
RAZARUDIN (tiga dari kiri) menunjukkan senjata api yang digunakan oleh suspek mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Kayu Madang pada sidang media,di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Bila arahan berhenti, dibalas tiga das tembakan

KOTA KINABALU: Sepasukan anggota polis terpaksa menjadikan kereta peronda sebagai pelindung diri, apabila suspek kes pecah rumah yang cuba ditahan mereka di kawasan tangki air dekat Jalan Kayu Madang, Telipok di sini, awal pagi tadi, tiba-tiba melepaskan tiga das tembakan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dari sebalik kereta sebagai pelindung itu, anggota polis membalas sekurang-kurangnya 10 das tembakan, menyebabkan suspek berusia lingkungan 20-an itu mati di lokasi selepas terkena tembakan di dada dan kepala.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razaruddin Huzain, berkata sebelum kejadian itu sepasukan polis membuat rondaan cegah jenayah di kawasan pusat beli-belah 1Borneo terserempak dengan lelaki terbabit yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Polis kemudian mengekori dan memintanya berhenti, namun suspek memecut motosikalnya sehingga ke kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang suspek terbabas di penghadang jalan berhampiran tangki air di kawasan KKIP. Ketika anggota polis berhenti, suspek melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan anggota mengambil tempat berlindung lalu melepaskan tembakan balas untuk mempertahankan diri.

"Anggota polis kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati suspek terbaring dan di sisinya ada sepucuk pistol jenis revolver .38 dan sebuah motosikal," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Polis Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Asri Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra.

Razaruddin berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi menemui tiga peluru hidup dalam poket sebelah kanan suspek dan motosikal yang ditunggang pula dicuri di Tamparuli, Tuaran yang dilaporkan hilang, 5 Februari lalu.

"Polis turut menemui beg merah di sisi suspek berisi barang pecah rumah. Kita akan mengambil cap jari suspek untuk dihantar ke Bukit Aman bagi mengenal pasti sama ada dia warga asing atau tempatan kerana tiada sebarang identiti ditemui.

"Bagaimanapun, kita mengesyaki suspek cuba melakukan jenayah berdasarkan penemuan peralatan disyaki untuk melakukan kegiatan pecah rumah," katanya.

Mayat suspek dibawa ke Hospital Queen Elizabeth HQE 1 untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

664 dibaca
Berita Harian X