Selasa, 13 Februari 2018 | 3:36pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah. - Foto Yazit Razali

'Video seks' - Polis belum terima laporan

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima sebarang laporan berhubung klip video seks membabitkan seorang individu dikatakan mirip atlit lelaki kebangsaan, yang tersebar menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah, berkata belum ada mana-mana pihak termasuk atlit berkenaan tampil membuat laporan berhubung video berkenaan.

"Saya difahamkan ia adalah video lama yang disebarkan semula, video itu pernah tersebar kira-kira dua tahun lalu dan dikatakan menggunakan teknologi 'superimpose'.

"Bagaimanapun, sekiranya pihak yang berkenaan bimbang penyebaran video berkenaan menjatuhkan reputasi mereka, maka wajar individu terbabit tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menerusi rakaman video berdurasi 3 minit 12 saat itu menunjukkan atlit lelaki berkenaan melakukan hubungan seks dengan seorang wanita dalam sebuah bilik yang tidak diketahui lokasinya.

Tidak dapat dipastikan sama ada pelakunya sendiri yang membuat rakaman video itu atau pun rakaman itu dibuat menggunakan kamera video yang disorokkan.

948 dibaca
Berita Harian X