Selasa, 13 Februari 2018 | 6:53pm
Muhamad Addim, 10, adik bongsu kepada Nur Afini Roslan menunjukkan gambar kakaknya yang meninggal dunia akibat terkena bilah pisau sebuah traktor mesin rumput di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Tungku Abdul Rahman, di rumahnya di Kampung Felda Sungai Kelamah, Gemas. - Foto Adzlan Sidek

'Tiada lagi teman gaduh dan bermanja'

TAMPIN: "Kakak dah tak ada, tiada lagi teman untuk saya bergaduh dan bermanja," kata Muhammad Addim Roslan, adik bongsu Nor Afini, yang terbunuh selepas terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang melayang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, hari ini.

Sambil menahan sebak dan menyeka air mata, Muhammad Addim, 10, berkata dia mengetahui kemalangan menimpa kakaknya, apabila diberitahu ibu saudaranya, Norizzah Samat, 53, yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah, di sini.

"Tiba-tiba, mak cik datang ke kelas sambil memberitahu mahu membawa saya pulang. Dia kemudian beritahu kakak sudah meninggal dunia, menyebabkan saya meraung kerana terlalu sedih dan terkejut.

"Kakak sangat rapat dengan saya. Dia yang selalu ajar buat kerja sekolah. Dia kawan bermain dan bergaduh...selepas ni saya tak tahu nak bermanja dengan siapa," katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Sungai Kelamah di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi tadi, Nur Afini, 14, meninggal dunia di padang sekolah berkenaan, akibat kecederaan parah apabila kepalanya terpotong dua dipercayai selepas terkena bilah pisau jentera berkenaan yang melayang.

Dua rakan mangsa, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, masing-masing cedera ringan di telinga dan belakang kepala.

Sementara itu, Norizzah berkata, dia yang sedang mengajar menerima panggilan daripada abangnya, Roslan Samat, 55, memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

"Saya segera ke kelas Muhammad Addim dan memberitahu kakaknya sudah tiada. Ketika itu dia menangis dan menyebut nama kakaknya banyak kali," katanya.

Katanya, arwah yang juga anak keempat daripada lima beradik sebelum ini belajar di sebuah sekolah di Pahang kerana menetap di Kuantan.

"Selepas abang (Roslan) bersara daripada sebuah syarikat swasta di Kuantan, dia membawa arwah dan adiknya pulang ke kampung di Gemas untuk menguruskan tanah rancangan FELDA. Mereka baru saja berpindah awal bulan lalu," katanya.

Katanya, arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA itu malam ini.


Lokasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas, Tampin dipecayai seorang murid perempuan meninggal dunia manakala dua rakannya cedera akibat terkena bilah pisau sebuah traktor mesin rumput di sekolah itu, 10.30 pagi. - Foto Adzlan Sidek

Sementara itu, rakan sekolah mangsa, Mohd Edzlidin Mohd Nor, 14, berkata, lebih 50 pelajar sedang menjalani latihan perbarisan mengikut rumah sukan masing-masing sebagai persiapan menyertai hari sukan sekolah yang dijadualkan esok.

"Saya diberitahu rakan yang menyaksikan kejadian itu, traktor berkenaan berada berhampiran dengan pelajar ketika kejadian sebelum bilah pisau jentera itu tercabut dan melayang terkena tiga pelajar termasuk Nur Afini.

"Keadaan menjadi kecoh dan ramai pelajar menjerit dan menangis ketakutan melihat keadaan Nur Afini yang cedera parah di kepala," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Mohd Yusoff Ismail, 63, merayu semua pihak supaya menghentikan penyebaran gambar mangsa yang berada dalam keadaan tragik akibat kemalangan itu.

"Kami berharap orang ramai menghormati perasaan keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan gambar sedemikian. Kami berharap keluarganya bersabar dengan kejadian yang berlaku," katanya ketika ditemui di sekolah itu.

20409 dibaca
Berita Harian X