Selasa, 13 Februari 2018 | 10:36pm
EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng (kiri) ditemani peguam RSN Rayer ditemui media selepas keluar dari Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

13 jam rakam percakapan EXCO PP

GEORGETOWN: EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng, menjalani sesi rakaman percakapan hampir 13 jam berhubung isu projek terowong dasar laut, hari ini.

Hock Seng, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal daripada DAP itu dilihat meninggalkan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, pada jam 9.50 malam tadi.

Beliau bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan mengenai keseluruhan proses rakaman percakapan terbabit.

Peguam Hock Seng, RSN Rayer, berkata pihaknya berpuas hati dengan keseluruhan proses berkenaan dengan anak guamnya itu dipanggil memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan dan bukan sebagai pihak tertuduh.

"Saya sudah melawat beliau sebanyak dua kali sepanjang proses ini berjalan dan berpuas hati dengan layanan diberikan kepada Hock Seng. Mereka juga menyediakan makanan dan minuman secukupnya.

"Kita juga bersedia memberi kerjasama sepenuhnya, jika SPRM mahu memanggil Hock Seng pada bila-bila masa bagi menjalani sesi rakaman percakapan susulan.

"Saya juga akan mewakili Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy, yang turut diarah untuk menjalani proses sama, esok," katanya ketika ditemui di pekarangan Pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Terdahulu, Hock Seng ditemani Rayer tiba di Pejabat SPRM negeri, di sini, bagi menjalani proses rakaman percakapan untuk membantu siasatan kes projek terowong dasar laut yang dianggar bernilai RM3.6 bilion, pada jam 9 pagi.

Projek mega itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Siasatan SPRM turut mendapati, beberapa ahli politik dipercayai menerima habuan sehingga jutaan ringgit, dalam kajian projek yang akan menghubungkan Persiaran Gurney, di sini, ke Bagan Ajam di Butterworth. Ia dijangka dibina pada 2023.

Setakat ini, SPRM sudah menahan reman empat individu, termasuk seorang bergelar Datuk Seri . Semua mereka sudah pun dibebaskan, selain suruhanjaya itu turut merakam percakapan sekurang-kurangnya 100 saksi.

Di Kuala Lumpur, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan ada memanggil Hock Seng untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Kita juga akan memanggil Ramasamy untuk menjalani proses sama di Pejabat SPRM Pulau Pinang, esok pagi. Selain itu, kita tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan bagi membantu siasatan kes ini.

"Bagaimanapun, biarkan SPRM jalankan siasatan kes ini terlebih dahulu. Isu ini sangat teknikal dan kita ada pasukan teknikal yang dikerahkan untuk menyelesaikan isu berbangkit," katanya.

Ditanya sama ada SPRM akan memanggil Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan lebih ramai EXCO kerajaan negeri pimpinan DAP bagi menjalani proses sama dalam masa terdekat, beliau enggan mengulas lanjut.

394 dibaca
Berita Harian X