Rabu, 14 Februari 2018 | 11:37am

Dera amah: Reman dua beradik disambung seminggu

BUKIT MERTAJAM: Tempoh reman dua beradik yang dipercayai mendera seorang pembantu rumah warga Indonesia sehingga mati, dilanjutkan selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Nor Hapipah Abdullah ke atas suspek berusia 36 dan 39 tahun berkenaan selepas menerima permohonan dikemukakan polis.

Terdahulu kedua-dua suspek yang tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dengan berpakaian lokap berwarna oren dan ungu, direman empat hari bermula Ahad lalu.

Dalam kejadian Ahad lalu, Adelina Lisao, 26, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan terdapat kesan lebam di kepala serta pelbagai kecederaan lain di tangan dan kedua-dua kakinya akibat didera di sebuah rumah dekat Taman Kota Permai, dekat sini.

Keperitan hidup yang dilalui wanita yang berasal dari Nusa Tenggara itu terbongkar apabila dia diselamatkan pihak berkuasa selepas mendapat maklumat orang awam dan jiran di kawasan itu.

Bagaimanapun, wanita itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) dan mayatnya di bawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat

Laporan bedah siasat mendedahkan Adelina maut akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah.

Berikutan itu, polis menahan dua adik beradik terbabit termasuk ibu mereka berusia 60 tahun untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

3143 dibaca
DUA beradik diiringi anggota polis ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk disambung reman berhubung kes dera seorang pembantu rumah warga Indonesia sehingga mati. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X