Jumaat, 16 Februari 2018 | 6:15pm
AZARITA (kiri) sedang menerangkan kejadian yang meragut empat saudaranya termasuk suami dan anaknya dalam satu kejadian lemas di Tok Bali. - Foto Azlan Hafeedz
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat sedang mencari seorang lagi mangsa dari lima beranak mati lemas yang masih hilang dihanyutkan arus kuat dalam satu kejadian lemas di Kampung Tok Bali. - Foto Azlan Hafeedz

'Sayu lihat mereka terkapai-kapai'

PASIR PUTEH: "Kami cuba bantu, namun ombak terus tarik mereka ke laut."

Demikian kata Azarita Md Esa, 41, isteri kepada Yazul Bahari Yakob, 46 dan ibu kepada Yasmin Nor Azila, 10, yang lemas bersama tiga ahli keluarga di Kampung Tok Bali, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, dua lagi mangsa lemas adalah Yusnina Yakob, 38 dan anaknya Zulaikha Suhaimi, 10.

Jenazah semua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, di sini, untuk bedah siasat.


MANGSA lemas yang sudah ditemui, Yazulbahari Yaacob dan Yazrina Yaacob dalam satu kejadian lemas di Kampung Tok Bali. - Foto Azlan Hafeedz

Sehingga 5 petang, seorang lagi mangsa, Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, masih gagal ditemui dan gerakan mencarinya sedang giat dilakukan.

Difahamkan, sebelum kejadian, empat sekeluarga terbabit baru selesai sarapan di chalet berkenaan.

Azarita berkata, empat keluarga, masing-masing dua keluarga dari Semenyih, Selangor dan dua lagi dari Kampung Alor Pasir, Tanah Merah, membabitkan 20 ahli keluarga tiba di chalet berkenaan, kira-kira jam 6 petang semalam untuk berkumpul sempena cuti Tahun Baharu Cina.

"Kejadian itu berlaku sekelip mata. Walaupun air paras pinggang, arus deras mengheret semua mangsa.

"Sayu hati saya melihat mereka (mangsa) terkapai-kapai, minta diselamatkan. Beberapa ahli keluarga lain cuba menyelamatkan mereka, namun, gagal kerana arus terlalu kuat.

"Saya difahamkan, kaki mereka terjerlus dalam pasir berselut menyebabkan mereka tidak dapat bergerak.

"Namun, kami reda dengan kejadian ini dan menerima apa yang berlaku ini sebagai ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Anis, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad, berkata mangsa pertama, Zulaikha berjaya diselamatkan, kira-kira jam 11 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang turut berada di lokasi kejadian.

"Selang 15 minit kemudian, mangsa kedua, Yusnina disusuli Yasmin Nor Aliza ditemui anggota bomba dan terakhir, Yazul Bahari, yang juga pegawai teknikal Universiti Nottingham, Semenyih pula ditemui," katanya.

Beliau berkata gerakan mencari mangsa kelima, Khaizuran Waliyuddin sedang giat dilakukan di sekitar lokasi oleh bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Marin.

Berita Harian X