Sabtu, 17 Februari 2018 | 11:59am

Mangsa lemas dikebumikan satu liang

TANAH MERAH: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Pasir/Padang Kijang di sini, apabila jenazah empat sekeluarga yang lemas di Pantai Tok Bali, Pasir Puteh, dikebumikan malam tadi.

Jenazah Yazul Bahari Yacob, 46, dan anaknya, Yasmin Nor Aliza, 10; adik Yazul Bahari, Yusnina, 38; serta anak saudara mereka, Zulaikha Suhaimi, 10, dikebumikan dalam satu liang kira-kira jam 11.45 malam.

Yang turut menziarahi dan berada di tanah perkuburan ialah Penaung Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (PAKAT), Datuk Seri Muhammud Supardi Md Nor.

Terdahulu, jenazah berkenaan yang tiba dari Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, dibawa ke rumah bapa mereka, Yacob Ismail, 68, di kampung itu kira-kira jam 10 malam.

Jenazah kemudian disembahyangkan di rumah itu oleh hampir 100 jemaah dengan diimamkan Imam Tua Masjid Mukim Alor Pasir, Yahya Daud.

Sementara itu, Yacob ketika ditemui berkata, beliau reda dan menyifatkan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian berkenaan.

"Allah lebih menyayangi mereka dan diharapkan seorang lagi ahli keluarga kami yang masih hilang ditemui segera (setakat malam tadi)," katanya.

Dalam kejadian jam 10.50 pagi semalam, empat sekeluarga itu lemas ketika mandi-manda di Pantai Tok Bali. Mayat mereka ditemui jam 11.15 pagi.

Yazul Bahari adalah dari Serdang, Selangor, manakala Yusnina dari Tanah Merah dan Zulaikha dari Semenyih, Selangor.

Sementara itu seorang lagi mangsa lemas, Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, ditemui nelayan 9.45 pagi tadi.

PENDUDUK Kampung Alor Pasir/Padang Kijang menurunkan jenazah mangsa lemas ketika pengebumian di tanah perkuburan Islam kampung itu, malam tadi.
PENDUDUK Kampung Alor Pasir/Padang Kijang menurunkan jenazah mangsa lemas ketika pengebumian di tanah perkuburan Islam kampung itu, malam tadi.
PENDUDUDK Kampung Alor Pasir/Padang Kijang mengusung jenazah mangsa lemas ke tanah perkuburan kampung itu, malam tadi.
Berita Harian X