PASIR PUTEH: Mangsa terakhir tragedi lima sekeluarga lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali di sini, semalam, ditemui pagi ini.
Mayat Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, ditemui terapung oleh dua nelayan yang sedang memukat ikan jam 9.45 pagi, iaitu hampir 12 jam selepas dilaporkan hilang.
Mayat itu kemudian dibawa ke jeti Tok Bali sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, lima sekeluarga lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali.
Mayat ibu Khaizuran, Yusnina Yaacob, 38, dan kakaknya, Zulaikha, 10, serta Yazul Bahari, 46, dan anaknya, Yasmin Nor Aliza, 10, ditemui semalam.
Yusnina adalah adik kepada Yazul Bahari, masing-masing menetap di Tanah Merah dan Serdang, Selangor.
Keempat-empat jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Pasir/Padang Kijang, Tanah Merah, dalam satu liang malam tadi.