Sabtu, 17 Februari 2018 | 2:56pm

Mayat disangka kayu

PASIR PUTEH: "Mace (Macam) ore (orang) tetapi sekali tengok seperti kayu. Apabila didekati ternyata objek terapung adalah mayat budak," kata nelayan pesisir pantai, Zulhaimi Abdullah, 54.

Zulhaimi dan rakannya, Ab Kadir Mat Hassan, 63, adalah nelayan yang menemui mayat Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, pada jam 9.45 pagi ini, kira-kira 200 meter dari kanak-kanak itu lemas ketika mandi di Kampung Tok Bali, semalam.

Zulhaimi berkata, dia dan Ab Kadir dari Kampung Kandis, Bachok, menuju ke kawasan sekitar Tok Bali untuk memukat ikan.

Mereka turut mengambil kesempatan membantu mencari mangsa yang hilang di kawasan berhampiran.

"Selepas hampir dua jam berada di kawasan itu, kami ternampak objek terapung dan menyangka kayu buruk, tetapi apabila dihampiri, sangkaan kami meleset kerana objek itu adalah mayat kanak-kanak.

"Kami menahan dengan pukat bagi mengelak mayat hanyut. Selepas itu, kami menutup mayat dengan kain sebelum membawanya ke jeti dan diserahkan kepada polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rozak Mohammad, berkata berdasarkan keterangan keluarga, jasad berkenaan disahkan mayat Khaizuran, mangsa kelima daripada lima mangsa lemas, semalam.

"Mayat kanak-kanak itu masih lengkap berpakaian dengan baju T berwarna hijau bertulisan 'Thailand' berdasarkan keterangan bapanya, Suhaimi Mohamed, 43," katanya.

Dengan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamatkan ditamatkan.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, lima sekeluarga lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali.

Mayat ibu Khaizuran, Yusnina Yaacob, 38, dan kakaknya, Zulaikha, 10, serta Yazul Bahari, 46, dan anaknya, Yasmin Nor Aliza, 10, ditemui semalam.

Yusnina adalah adik kepada Yazul Bahari, masing-masing menetap di Tanah Merah dan Serdang, Selangor.

Keempat-empat jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Pasir/Padang Kijang, Tanah Merah, dalam satu liang malam tadi.

Berita Harian X