Sabtu, 17 Februari 2018 | 9:36pm
ANGGOTA penyelamat melihat mayat kanak-kanak lelaki, Waliyuddin Suhaimi, 5, seorang lagi mangsa lemas daripada empat dijumpai pada jam 9.45 pagi ini oleh dua nelayan yang selepas hampir 12 jam hilang, Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, lima sekeluarga lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali. - Foto Azlan Hafeedz

Mangsa kelima selamat dikebumikan

KOTA BHARU: Jenazah Khaizuran Waliyuddin Suhaimi, 5, mangsa lemas membabitkan lima sekeluarga di Pantai Tok Bali semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Pasir/Padang Kijang, Tanah Merah jam 3 petang tadi.

Jenazah dikebumikan bersebelahan kubur empat ahli keluarganya yang dikebumikan jam 11.45 malam tadi.

Khaizuran ditemui terapung jam 9.45 pagi tadi kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian selepas hampir 12 jam dilaporkan hilang sejak semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, lima sekeluarga lemas ketika mandi di Pantai Tok Bali.

Mayat ibu Khaizuran, Yusnina Yaacob, 38, dan kakaknya, Zulaikha, 10, serta Yazul Bahari, 46, dan anaknya, Yasmin Nor Aliza, 10, ditemui semalam.

Bapa saudaranya yang mahu dikenali sebagai Fuzi berkata, sebelum itu mayat anak saudaranya itu dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh sebelum dibawa ke rumah datuknya Yacob Ismail, 68, di kampung itu.

"Jenazah tiba jam 2.30 petang dan terus disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

" Alhamdulillah urusan pengebumian berjalan lancar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya pemergian anak saudaranya itu amat dirasai namun keluarga reda dengan ketentuan Ilahi.

Berita Harian X