Ahad, 18 Februari 2018 | 5:57pm
GAMBAR fail, penganalisis jenayah Malaysia, Kamal Affandi Hashim ketika menyampaikan ceramah mengenai jenayah terhadap wanita sempena Seminar Wanita dan Jenayah di Dewan Kuliah, Universiti Sains Malaysia. - Foto Zulaikha Zainuzman

Perlu juga teknologi cekap kesan sumber berita palsu

KUALA LUMPUR: Selain denda yang lebih berat, teknologi yang cekap untuk menangkap sumber berita palsu juga perlu ada untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

"Kecekapan sebegitu perlu ada dalam usaha untuk menghentikan penyebaran berita palsu," kata penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong saranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar denda lebih berat dikenakan terhadap penyebar berita palsu.

"Apabila denda yang lebih berat dikenakan, pelaku akan lebih berhati-hati dan tidak menyebarkan berita yang tidak benar," katanya sambil menambah pengeluar berita palsu juga perlu dilarang menggunakan kemudahan internet selepas didapati bersalah.

Sementara itu, perunding keselamatan teknologi maklumat, Fong Choong Fook turut menyokong Kamal mengenai keperluan teknologi untuk menangkap si pelaku, yang menjadi punca berita palsu.

"Undang-undang sedia ada, baru atau denda yang berat mampu mengurangkan penyebaran berita palsu, tetapi tidak akan berkesan jika kita masih tidak dapat menangkap sumber berita palsu itu.

"Apa yang dilakukan pihak berkuasa sekarang hanya dapat menangkap mereka yang berkongsi berita palsu dan bukan sumbernya.

"Benar, seseorang boleh didakwa mengikut undang-undang kerana menyebarkan berita palsu, tetapi jika rakyat terus berkongsi berita yang tidak disahkan, ada undang-undang juga tidak berguna."

Beliau berkata kebanyakan yang ditahan setakat ini bukan sumber berita palsu, tetapi mereka yang berkongsi berita palsu berkenaan.

"Bukan kerja mudah untuk menahan sumber utama berita palsu ini kerana ia begitu meluas."

Foong berkata, orang ramai boleh membantu menghentikan penyebaran berita palsu dengan memeriksa sumber sesuatu berita terlebih dahulu.

"Banyak berita yang dikongsi di media sosial mesti disahkan terlebih dahulu dan cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan memeriksa sumber asalnya.

"Ia adalah tanggungjawab semua orang untuk berfikir dan memeriksa sebelum menghantar sesuatu. Sentiasa ingat bahawa apa sahaja yang anda hantar menjadi tanggungjawab anda, " kata Fong, yang juga pengarah eksekutif firma keselamatan siber LE Global Services Sdn Bhd.

Berita Harian semalam melaporkan Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr Mazlan Ismail mencadangkan supaya denda kerana menyebarkan berita palsu dinaikkan dari RM50,000 sekarang kepada RM500,000.

Begitu juga penjara setahun dinaikkan hingga sembilan kali ganda, misalnya kepada 10 tahun.

Beliau berkata, denda sedia ada masih kecil dan tidak menggerunkan penyebar berita palsu.

Ketika ini, mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata draf perincian rang undang-undang berita palsu dijangka dikemukakan kepada Kabinet selepas Tahun Baharu Cina, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Berita Harian X