Selasa, 20 Februari 2018 | 4:07pm

Pecah masuk kedai, 2 lelaki dipenjara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara masing-masing lapan bulan terhadap dua lelaki yang memecah masuk sebuah kedai, Sabtu lalu.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap tukang cat, Ee Hua San, 42, dan Teh Jin Aun, 34, selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mahyudin memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada Sabtu lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama memecah masuk kedai milik Lee Chee Loong, 30, di Jalan 17/155C Bandar Baru Bukit Jalil, di sini, pada jam 5.30 pagi, 17 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan boleh didenda, jika kesalahan itu mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan dilakukan kali kedua boleh juga didenda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin, manakala tertuduh-tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh memohon mahkamah memberi hukuman ringan atas alasan mereka menanggung keluarga.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X