Rabu, 21 Februari 2018 | 4:00pm
SEORANG lelaki berusia 36 tahun direman empat hari di Mahkamah Majistret yang nekad menyorok di bawah katil untuk mengelak daripada ditahan penduduk kampung selepas melakukan pecah rumah di Kampung Telaga Gajah, Banggol, Pantai Cahaya Bulan (PCB). - Foto Muhamaad Razis Ismail

Lelaki pecah rumah sorok di bawah katil

KOTA BHARU: Seorang lelaki nekad menyorok di bawah katil sebuah rumah yang dipecah masuk, untuk mengelak ditahan penduduk dalam kejadian di Kampung Telaga Gajah, Banggol di sini, kelmarin.

Dalam insiden jam 11.55 malam, suspek berusia 36 tahun bagaimanapun berjaya dikesan penduduk setempat.

Suspek turut mengalami kecederaan ringan di kepala ekoran bertindak agresif ketika ditahan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata kejadian disedari anak saudara tuan rumah yang curiga selepas melihat sebuah motosikal diparkir di belakang kediaman berkenaan.

Beliau berkata, pengadu kemudian terdengar bunyi bising dan mengesyaki rumah ibu saudaranya yang bekerja di Raub, Pahang, dipecah masuk.

"Pengadu meminta bantuan beberapa penduduk kampung untuk mengepung rumah sebelum sebahagian daripada mereka masuk melalui dapur.

"Pemeriksaan lanjut menemui suspek bersembunyi di bawah katil di dalam sebuah bilik rumah dua tingkat itu.

"Dengan bantuan penduduk kampung, suspek berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan sebelum diserahkan kepada polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek dipercayai masuk dengan memecahkan siling bahagian sisi luar rumah.

"Bagaimanapun, suspek tidak sempat mengambil apa-apa di rumah itu dan kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X