Rabu, 21 Februari 2018 | 4:45pm
AHLI Parlimen Puchong, merangkap Pengerusi Biro Guaman Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo (dua dari kiri) bersama Datuk Saifuddin Abdullah (dua dari kanan); Ketua Penerangan Keadilan, Syed Ibrahim Syed Noh (kanan) mengadakan sidang media pada permohonan saman yang dikemukakan Pakatan Harapan terhadap ROS, berkenan isu pendaftaran parti di Lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. NSTP/ ZULFADHLI ZULKIFLI

Pakatan Harapan mohon semakan kehakiman

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan hari ini mengemukakan permohonan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perintah supaya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menjawab permohonan mendaftarkan gabungan itu.

Permohonan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi hari ini, melalui Tetuan Gobind Singh Deo & Co.

Pakatan Harapan menamakan Setiausaha Jawatankuasa Penaja pakatan itu, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus; dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai pemohon manakala ROS sebagai responden.

Mereka memohon mendapatkan kebenaran bagi pengisytiharan tindakan ROS tidak mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar adalah bercanggah dengan kewajipan statutori badan itu dan bercanggah dengan harapan sah mereka (pemohon).

Secara alternatif, pemohon mahukan pengisytiharan tindakan ROS tidak mendaftarkan Pakatan Harapan pertubuhan berdaftar adalah sebagai munasabah dan berniat jahat.

Mereka turut menuntut pengisytiharan bahawa tindakan responden yang tidak membalas surat daripada Setiausaha Jawatankuasa Penaja PH bertarikh 6 Februari lalu (berhubung pendaftaran (PH), bercanggah dengan kewajipan statutori ROS dan bercanggah dengan harapan sah pemohon.

Menurut pemohon, tindakan itu juga tidak munasabah dan berniat jahat.

Mereka turut memohon kebenaran perintah mandamus bagi mendesak ROS mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Berita Harian X