Rabu, 21 Februari 2018 | 7:36pm

Bapa rogol anak dihukum penjara 80 tahun, 24 sebatan

PETRA JAYA: Seorang pekerja am dihukum penjara 80 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan merogol anak kandungnya sejak 2015.

Hakim Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 40 tahun, didapati bersalah melakukan perbuatan keji berkenaan sebanyak empat kali.

Bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan, bapa kepada empat anak itu dihukum penjara 20 tahun dan enam sebatan. Semua hukuman itu dijalankan berasingan berkuat kuasa hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak perempuannya di sebuah rumah di Padawan sejak Mac 2015 ketika mangsa berusia 14 tahun.

Tertuduh menjadikan mangsa pemuas nafsu selepas bercerai dengan isterinya. Perbuatan terkutuk itu dilakukan ketika mangsa tidur.

Tertuduh juga didakwa membawa anak kandungnya itu ke farmasi untuk membeli pil pencegah kehamilan dan memaksa mangsa menelannya sebelum dirogol.

Perbuatan tertuduh terbongkar selepas mangsa mendedahkan perkara itu kepada ibunya menerusi aplikasi WeChat, sekali gus membawa penangkapan tertuduh beberapa bulan lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X