Jumaat, 23 Februari 2018 | 12:48pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa. - Foto Azhar Ramli
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa. - Foto Azhar Ramli

Pekerja Indonesia, Bangladesh bergaduh berebut lif

KUALA LUMPUR: Gara-gara berebut lif untuk turun dari sebuah tapak pembinaan, di Jalan Bukit Indah 1, Bukit Jalil, di sini, sekumpulan pekerja binaan warga Indonesia dan Bangladesh bergaduh sesama sendiri.

Rakaman kejadian pergaduhan yang turut menggunakan senjata tajam itu mulai tular sejak pagi tadi dan pihak polis mengesahkan ia berlaku pada 10 Februari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa, berkata pergaduhan berpunca ketika pekerja berebut untuk menggunakan lif sebelum ia merebak membabitkan kumpulan dari dua negara.

"Pergaduhan membabitkan sekumpulan warga negara Indonesia dan Bangladesh.

"Puncanya kerana salah seorang suspek lelaki warga Indonesia terpaksa menunggu lif untuk turun ke tingkat bawah dari Tingkat 16 dan berlaku perebutan semasa hendak turun menggunakan lif sebelum berlaku tolak-menolak serta tumbuk menumbuk," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam video berdurasi 33 saat, sekumpulan pekerja buruh binaan sedang saling berkejaran sambil menjerit di atas bumbung sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan.

Rakaman berkenaan dimuatnaik di laman Facebook dan mulai tular sejak pagi tadi mendakwa pergaduhan membabitkan kumpulan pekerja Acheh dan Bangladesh.

Rusdi berkata, akibat kejadian itu, tiga warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia cedera dan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

"Kami menahan 17 lelaki terdiri daripada 10 lelaki warga Indonesia dan tujuh lelaki warga Bangladesh yang terbabit dalam kejadian ini. Mereka direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X