Ahad, 25 Februari 2018 | 7:54pm
PDRM logo[FOTO /BH]

Pelajar maut digilis lori

KULIM: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Ketil di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Adam Muqri Azmi, 17, yang membonceng motosikal jenis Honda RS150 ditunggangi rakannya, cedera parah dan disahkan meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa gagal memotong sebuah lori dipandu lelaki berusia 30 tahun.

Beliau berkata, motosikal mangsa seterusnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dari arah bertentangan.

Akibat perlanggaran itu, katanya, Adam Muqri tercampak ke tengah jalan sebelum digilis oleh lori terbabit yang gagal mengelak.

Ketika kejadian, beliau berkata, mangsa dan rakannya dalam perjalanan dari arah Merbau Pulas ke Sungai Karangan.

"Rakan mangsa yang juga berumur 17 tahun hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu kereta dan lori terbabit tidak mengalami kecederaan," katanya.

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X