Ahad, 25 Februari 2018 | 10:30pm
RAKAMAN litar tertutup yang memaparkan detik cemas, Wong Chui Ling di ragut di Taman Limau Manis, Jalan Hamzah
MANGSA, Wong Chui Ling mengalamai kederaan di kepala.

Ditahan selepas sejam meragut

KOTA BHARU: Dua peragut kempunan meraikan hasil jenayah mereka, apabila ditahan polis kira-kira sejam selepas meragut beg tangan seorang warga emas di Taman Limau Manis, Jalan Hamzah, di sini, tengah hari tadi.

Dua suspek berusia 27 dan 33 tahun itu ditahan di sebuah rumah dekat Jalan Kubur Kuda, di sini, jam 1 tengah hari tadi selepas sejam meragut mangsa.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian jam 12 tengah hari dengan durasi selama 120 saat itu turut menjadi viral di laman sosial petang tadi.

Berdasarkan rakaman itu, mangsa Wong Chui Ling, 72, dilihat berjalan kaki bersendirian menuju kereta Proton Saga miliknya selepas selesai makan di kedai berhampiran, sebelum didatangi seorang lelaki dari belakangnya yang terus merentap beg tangannya.

Akibat rentapan peragut terbabit, mangsa terjatuh di tempat kejadian dan mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala suspek melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Persona dipandu rakannya.

Seorang peniaga kedai elektrik yang enggan dikenali berusia 30an, berkata ketika kejadian dia berada di kedainya sebelum dimaklumkan pekerja yang ternampak seorang wanita cedera selepas diragut.

"Mangsa kemudian dibantu orang awam yang menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Manakala lelaki yang meragut mangsa berjaya melarikan dengan menaiki sebuah kereta," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Ibrahim Sharif ketika dihubungi berkata, hasil maklumat dua suspek itu ditahan selepas sejam melakukan jenayah itu.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui semula beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen pengenalan diri dan wang tunai RM200.

"Kedua-dua suspek yang dikesan positif dadah methampetamine kini disiasat mengikut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

14890 dibaca
Berita Harian X