Selasa, 27 Februari 2018 | 1:17pm

Penganggur bawa pisau kena jel 5 tahun

KOTA BHARU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memiliki pisau tanpa kebenaran.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin mengenakan hukuman itu selepas tertuduh Wadi Asma Ramli, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 November 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau berukuran 11 sentimeter tanpa kebenaran yang sah pihak berkuasa di tepi jalan persimpangan Cabang Empat Panji, Jalan Raja Perempuan Zainab II di sini pada jam 10.10 malam, 7 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis yang sedang menjalankan operasi cegah jenayah terserempak dengan tertuduh di tempat duduk pemandu kereta Proton Saga dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai kanan polis kemudian menghampirinya dan menunjukkan kad kuasa sebelum tertuduh melarikan diri dengan memecut kenderaannya.

Polis mengejar tertuduh dan dia dapat ditahan selepas keretanya terbabas.

Pemeriksaan lanjut menemui pisau yang diselit di pinggangnya dan dadah di dalam poket seluarnya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falena Abu Bakar memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Berita Harian X