Selasa, 27 Februari 2018 | 9:48pm

Remaja buang mayat bayi ditahan

JEMPOL: Pelajar perempuan Tingkatan Empat ditahan polis kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi baru dilahirkan dalam semak berhampiran rumah kosong di sebuah tanah rancangan FELDA di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Azham Shah Azlan, berkata perbuatan pelajar sebuah sekolah menengah berusia 16 tahun itu terbongkar selepas dia dibawa ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

"Remaja itu mengaku melahirkan bayi lelaki seorang diri dalam bilik air di rumah keluarganya, jam 7.15 malam pada 21 Februari lalu. Remaja itu kemudian memotong tali pusat menggunakan gunting.

"Namun, dia mendakwa bayinya meninggal dunia kira-kira 15 minit selepas dilahirkan. Panik dengan keadaan itu, dia membuang mayat bayinya di kawasan semak berhampiran rumah kosong berdekatan rumahnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, selepas dua hari melahirkan bayi, remaja terbabit yang tidak dapat menahan sakit terpaksa mengadu kepada ibu bapa kononnya terjatuh di sekolah sebelum dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati terdapat darah beku dalam perutnya, menyebabkan remaja itu dirujuk ke HTAN untuk rawatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan dipercayai baru melahirkan bayi," katanya.

Berikutan itu, Azham Shah berkata soal siasat dilakukan terhadap remaja itu yang mengakui melahirkan bayi dan membuangnya ke dalam semak.

Dia mendakwa melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya berusia 18 tahun pada Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, polis yang ke lokasi menjalankan siasatan menemui mayat bayi dibuang itu dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X