Rabu, 28 Februari 2018 | 2:42pm

Remaja buang mayat bayi dibebaskan

JEMPOL: Pelajar Tingkatan Empat yang ditahan polis kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang mayat bayi dalam semak berhampiran rumah kosong di tanah rancangan FELDA di sini minggu lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, remaja perempuan itu dibebaskan jam 5 petang semalam selepas keterangannya diambil.

Bagaimanapun, katanya, teman lelaki berusia 18 tahun yang ditahan di Petaling Jaya semalam, direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 kanun sama.

Perbuatan pelajar berusia 16 tahun itu terbongkar selepas dibawa ibunya mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Remaja itu mengaku melahirkan bayi lelaki sendirian dalam bilik air di rumah keluarganya jam 7.15 malam pada 21 Februari lalu.

Dia dilaporkan memotong tali pusat menggunakan gunting dan mendakwa bayinya meninggal dunia kira-kira 15 minit selepas dilahirkan.

Panik dengan keadaan itu, dia membuang mayat bayinya di kawasan semak berhampiran rumahnya.

Selepas dua hari bersalin, remaja terbabit terpaksa mengadu kepada ibu bapa kerana tidak tahan menanggung kesakitan tetapi mendakwa terjatuh di sekolah sebelum dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan.

Pemeriksaan mendapati berlaku darah beku dalam perut menyebabkan remaja itu dirujuk ke HTAN untuk rawatan lanjut.

Pemeriksaan mendapati kesan koyakan dipercayai baru melahirkan.

Remaja itu kemudian mengakui melahirkan bayi dan membuangnya ke dalam semak selepas mendakwa melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya pada Ogos tahun lalu.

Berita Harian X